Saturday, November 7, 2009

Bila Anak Diajar Bermewah

Dari Utusan Malaysia

SAYA juga sependapat dengan Shareena yang kisahnya dipaparkan diruangan ini minggu lalu, tentang menghadapi masalah remaja kini, kerana saya juga mengahadapi masalah yang sama, ada empat orang anak berusia 8 hingga 14 tahun.

''Kerana risaukan keselamatan mereka, kami menghantar mereka ke sekolah rendah agama swasta bagi membolehkan mereka mendapat ilmu dunia dan akhirat.'' Demikian cerita Rozieyanti dalam emelnya.

''Namun saya dapati sebagai ibu bapa kita perlu bertindak lebih berhati-hati, kerana masalah mereka tetap sama. Kerana itu saya jadi ibu yang kedekut tidak memberikan mereka kemudahan handphone, saya jadi ibu yang jumud dengan tidak menyediakan kemudahan internet di rumah.

Sementara itu Dalila dalam e-melnya mengakui kehidupan remaja kini terlalu berbeza dengan zaman dulu. Semuanya kerana mereka terlalu dilimpahi dengan wang ringgit hinggakan mereka terdedah kepada budaya kuning.

''Walaupun ibu bapa telah memberi pendidikan agama yang terbaik, itu belum cukup untuk menjamin corak kehidupan mereka menjadi baik. Ini kerana mereka berpura-pura baik di hadapan ibu bapa, di belakang dialah raja.

''Saya dapati sikap mereka mula berubah ketika di tingkatan 2 atau 3. Perubahan mereka lebih mendadak setelah memasuki ke IPT .

''Sebagai ibu bapa kita hanya boleh berdoa agar keturunan kita terpelihara. Namun saya tidak bersetuju jika anak-anak sekolah diberikan telefon tangan. Kerana banyak perkara buruk boleh berlaku. Tak cukupkan kemudahan telefon awam yang ada di sekolah jika ada perkara penting perlu diberitahu kepada ibu bapa?

''Dulu saya ditawarkan oleh ayah telefon tangan tetapi saya tolak kerana saya mahu tumpukan ketika belajar. Saya mula ada telefon tangan bila masuk IPT,' katanya.

Sementara itu, Kamal dalam emelnya memberitahu orang yang sering merosakkan hidup anak-anak adalah ibunya sendiri. Contohnya isteri saya. Anak darjah 4 dah diberi telefon tangan, alasannya senang nak hubunginya kalau ada apa-apa terjadi.

''Rasanya tak ada apa nak jadi, sebab anak-anak pergi balik sekolah naik van. Kalau van rosak pemandu van akan hubungi kami. Tepat waktunya anak-anak balik rumah dan kita boleh telefon rumah pastikan kalau bimbang. Jadi apa perlunya telefon tangan?

''Pada saya semuanya kerana ego, bangga diri dan nak ikut gaya hidup kawan-kawan pejabat. Orang lain beri anak handphone dia pun nak ikut. Dua anak sekolah nak siapkan dua telefon tangan. Kalau boleh agaknya yang di tadika tu pun dia nak bagi telefon tangan. Puas saya nasihatkan tapi dia tak pedulikan.

''Lepas tu bila habis kredit kita pulak disuruh top-up. Saya tak pedulikan. Dia pandai beri jangan susahkan saya. Sekarang baru darjah 4 top-up seminggu mencecah RM20 itu belum masuk menengah lagi. Jadi siapa yang salah kalau anak-anak nak lebih daripada apa yang kita termampu untuk membesarkannya. Kerana salah kita sendiri.

''Itu baru telefon tangan, belum masuk kasut dan pakaian. Semuanya nak yang berjenama, tak ada 'brand' tak mahu pakai. Salah siapa, kalau bukan si ibu sejak kecil lagi ajar anak pakai pakaian berjenama. Itu belum ke sekolah menengah lagi!

''Kadang-kadang saya naik takut tengok perangai isteri saya, yang menyediakan segala-gala yang mewah untuk anak-anaknya yang masih kecil. Kerana saya bimbang sifat bermewah-mewah ini terbawa-bawa bila mereka dewasa nanti. Saya jamin tiga empat tahun lagi belanja hidup seorang anak saya akan meningkatan ratusan ringgit sebulan.

''Lebih parah duduk KL, gaya hidup anak-anak lebih hebat, tambahan bila mereka sudah berkawan, nak tengok wayang lah dan entah apa-apa lagi. Sebab itu kita perlu didik mereka berjimat cermat, bukan kedekut, tetapi hati-hati, sebab langit tak selalu cerah, kalau salah seorang dari kami tak berkerja apa nak jadi. Sakit! Sakit!

Terbaik

''Sebagai manusia saya tidak pernah minta yang buruk-buruk, tetapi kita mesti berhati-hati, sediakan payung sebelum hujan. Supaya kita tak kesal kemudian hari. Tapi isteri saya mempunyai pandangan berbeza, katanya sebagai ibu bapa kita mesti menyediakan yang terbaik untuk anak-anak, bukan semuanya nak disekat!

''Bagi saya bukan sekat tetapi kita mesti berjimat cermat, supaya kita boleh menyediakan yang terbaik untuk anak-anak apabila mereka dewasa nanti, di samping melatih mereka tidak boros demi masa depan mereka sendiri.

''Saya tak salahkan isteri saya saja, malah sesetengah teman pejabat saya baik lelaki mahupun perempuan mempunyai perangai yang sama. Sedangkan pendapatan mereka termasuk isteri saya bukanlah banyak sangat. Tetapi nak bergaya bagaikan jutawan.

''Saya dah boleh agak dia mesti nak bagi anak-anak kereta bila besar nanti. Niat itu baik, tetapi dia mestilah dilatih berjimat cermat, kerana selagi anak-anak ini tak bekerja, mereka akan korek duit kita untuk mengisi tangki minyak mereka. Mampukah kita bila usia semakin tua nanti? Apabila tanggungjawab semakin besar?

''Satu lagi perangai isteri saya tak mahu berikan pakaian terpakai anak sulung untuk digunakan oleh adiknya. Bila pakaian tak muat terus buang. Beli baru. Sedangkan pakaian tersebut masih elok lagi, ia cuma tak muat lagi, mungkin adik-adiknya boleh pakai. Sifat membazir begini saya lihat jadi ikutan anak-anak kami. Suka membazir.

''Demikianlah juga perangai isteri saya berpakaian. Setiap bulan saya perhatikan ada saja pakaian baru. Itu belum masuk beg tangan, kasut, tudung dan sebagainya. Bila dah tak ada fesyen lagi tak mahu pakai, buang, atau diambil pembantu rumah. Apa salahnya berikan kepada saudara mara di kampung, mungkin ada yang berminat.

''Begitu juga tentang makanan, isteri saya memang tak tahu berjimat. Masak banyak-banyak tapi anak tak makan. Yang kenyang tentulah pembantu rumah atau tong sampah. Kesimpulannya perangai buruk anak-anak terpulang kepada didikan ibu bapanya sendiri. Kalau dari kecil sudah diajar hidup mewah, perangai itu menjadi lebih teruk apabila mereka meningkat remaja.'' Demikian cerita Kamal panjang lebar.

Memang tepat anak-anak bagaikan buluh, mereka boleh dilentur jika semasa rebung. Semuanya terpulang kepada cara ibu bapa mendidik mereka sejak kecil sama ada menjadikan mereka nasrani, yahudi atau muslim sejati. Jangan salahkan anak-anak bila mereka memberontak tak mendapat kehendak hati setelah remaja nanti.

No comments:

Post a Comment